Sekuntum bunga yang sentiasa mekar,
Mekarlah dikau kerana petikan ini sudah lama ditinggalkan namun dibangkitkan semula kerana dakwat aku terasa dipanggil untuk menulis demi kau.
Mungkin juga sudah terlambat untuk aku rungkaikan kata hati. Dimana bermulanya rasa pergolakan dan pemberontakan dalam diri. Disaat kau ditanya oleh mereka, apakah makna jika kau selalu datang ke mari, apakah kau punyai niat di hati namun, tiga kali juga kau berdiam diri. Kau memberi muka yang penuh rasa gundah, hati yang gelisah, tidak mahu memberi kepada mereka sepatah madah, yang juga memberi penuh makna kepada aku bahawa mungkin apa yang aku rasa ini semuanya adalah salah. Kau mengelak daripada memberi jawapan dan terus sepi. Pabila disoal mereka, apa lagi bolehku kata jikalau jawapan yang diberi oleh kau juga dalam keadaan berbelah bahagi. Seolahnya, perasaan aku kau tidakkan kerana kau juga yang berkata kepada aku bahawa kita hanya berteman. Aku hanya mampu berdiam. Apa lagi bolehku pertahankan jikalau itu yang kau idamkan.
Bukan soal berdua demi mendirikan rumah tangga; kerana itu juga aku masih belum bersedia. Senarai itu boleh dijadikan lebih panjang dari biasa untuk menyatakan apa yang aku rasa.
Soal hati perlu dikati,
Janganlah kau memaksa diri.
Soal tenang jangan dikenang,
Jikalau berkenan datanglah bertandang.
Dan kerana itu aku melangkah pergi walaupun berat hati, namun kau pulang hanya tahu menuding jari. Marahnya kau pada aku, sedihnya kau pada aku; kau rungkaikan segala dan kau siarkan dalam bidang seni. Kau mula menggunakan kekurangan seorang perempuan untuk terus kau tindaskan. Seorang perempuan yang mendiamkan diri demi membersihkan sisa jiwa yang datangnya dari madah ketakutan dan ego seorang lelaki. Aku pula mencari letaknya pegangan seorang lelaki yang dahulu pernah kau tegakkan. Kata kau, kau seorang khalifah penggerak keluarga. Namun apa yang ditonjolkan tidak selangkah dengan kata.
Namun sepi kau juga seperti tidak lama didiami, kau terus memetik bintang yang jauh sudah hilang dari genggaman diri. Kau kembali kepadanya selepas dia meluahkan kata kata. Mengapa? Kerana dia mampu dan tidak bisu seperti aku? Kerana dia meluahkan dalam bentuk percakapan dan bukan penulisan? Atau kau sendiri rasa buntu, asalkan siapa sahaja mampu sabar dengan aku, kita bisa bersatu. Begitu? Namun ini semua hanyalah firasat aku, aku juga tidak tahu. Bagi aku, semua ini adalah nafsu. Kau juga penuh dengan pekung yang engkau sendiri simpankan. Tidak diceritakan. Apa lagi janji yang mampu aku kotakan. Tiada. Namun jikalau ini semua hanyalah andaian semata, disini juga mahu aku hulurkan sepuluh jari, maaf dipinta.
Jujur aku berkata, jikalau ada takdirnya, aku mahu kita bincang sesama kita dan tidak melulu soal mendirikan tenda. Aku mahu perkenalan kita penuh dengan makna. Namun jikalau hati kau ada pada si dia, jadilah seorang lelaki yang mampu meyakinkannya. Seorang lelaki yang berani untuk puasakan egonya, dan isikan jiwanya. Buatlah dia bahagia. Janganlah kau sakitkan hati yang ingin berlindung padamu.
Assalamualaikum.